Arab Saudi uji coklat Cadbury di makmal
Astro Awani
Jun 2, 2014 17:55 MYT
Jun 2, 2014 17:55 MYT
Pihak berkuasa Arab Saudi menarik balik beberapa produk coklat jenama Cadbury dari pasaran sementara menunggu laporan ujian makmal bagi mengesan DNA babi dalam produk berkenaan susulan pencemaran yang dikesan di Malaysia baru-baru ini.
Arab Saudi menjadi negara kedua membuat ujian yang sama selepas Indonesia.
"Produk Cadbury yang dikeluarkan di Malaysia tidak berdaftar dengan kami kerana kami mengimport dari negara-negara seperti Mesir dan United Kingdom," kata Salah Al-Maiman, timbalan pengerusi eksekutif bahagian makanan SFDA seperti dipetik oleh Arab News.
"Bagaimanapun, SFDA mengambil langkah tegas sekiranya ujian sampel positif bagi kesan DNA babi."
Beliau juga menggesa pelanggan supaya melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya mereka terjumpa produk coklat Cadbury kacang hazel dengan nombor kod 200813M01HI2 dan tarikh luput 13 November 2014 atau coklat Cadbury buah badam dengan kod 221013N01RI1 dngan tarikh luput 15 Januari 2015.
Pihak berkuasa di Indonesia pada Jumaat dilaporkan menguji kandungan produk Cadbury. Keputusan itu akan dijangka akan diketahui minggu ini.
Dalam satu laporan lain, pengeluar Cadbury di Indonesia menegaskan semua produknya yang dijual di republik itu halal. Ia juga memaklumkan tidak mengimport produk yang dikesan ada DNA babi dari Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Isnin bagaimanapun mengumumkan tiada DNA babi dikesan dalam dua produk coklat Cadbury berkenaan. Pengumuman dibuat selepas ujian dijalankan oleh Jabatan Kimia ke atas sampel yang diambil dari kilang.