Arab Saudi tangguh pemberian visa umrah sebagai persediaan musim haji 1445H

Bernama
Mei 23, 2024 12:04 MYT
Kerajaan Arab Saudi sebelum ini mengumumkan penguatkuasaan penalti 10,000 Riyal (SAR10,000) terhadap individu yang memasuki tujuh kawasan larangan tanpa permit haji.
KUALA LUMPUR: Pemberian visa umrah melalui aplikasi telefon pintar "Nusuk" ditangguhkan mulai Khamis, 23 Mei (15 Zulkaedah) hingga 21 Jun (15 Zulhijjah).
Perkara itu dinyatakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam infografik yang dimuat naik di akaun rasmi X kementerian itu pada Khamis, sekali gus melarang semua kategori pemegang visa pelancong dari memasuki Mekah sepanjang tempoh berkenaan bagi melancarkan persediaan musim haji 1445 Hijrah.
Kementerian itu turut menegaskan, hanya pemegang visa haji sahaja yang dibenarkan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu, serta mengingatkan mengenai pelaksanaan hukuman berat terhadap individu yang ditahan kerana berada di tujuh kawasan yang dikhususkan untuk jemaah haji secara tidak sah.
Kerajaan Arab Saudi sebelum ini mengumumkan penguatkuasaan penalti 10,000 Riyal (SAR10,000) terhadap individu yang memasuki tujuh kawasan larangan tanpa permit haji iaitu Mekah, Wilayah Tengah, Masyair, stesen kereta api Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat pengasingan dan pusat kawalan keselamatan sementara. - BERNAMA
#Haji 2024 #visa umrah ditangguh #aplikasi NUSUK #visa haji
;