Arab Saudi perkenal aplikasi baharu al-Munazzimin dan al-Amilin sempena musim haji 1443 H
Bernama
Jun 14, 2022 16:07 MYT
Jun 14, 2022 16:07 MYT
KUALA LUMPUR: Arab Saudi memperkenalkan tiga aplikasi pintar termasuk dua yang baharu sempena musim haji 1443 H bagi melancarkan lagi urusan para jemaah semasa berada di tanah suci.
Jurucakap rasmi Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (MoHU), Hesham A. Saeed dalam temu bual bersama stesen televisyen Arab Saudi baru-baru ini berkata, dua aplikasi baharu itu ialah al-Munazzimin khusus untuk agensi yang menguruskan jemaah haji, mengandungi maklumat penting seperti tarikh pergerakan jemaah di Mina dan Arafat, manakala aplikasi al-Amilin bagi memudahkan urusan petugas haji bagi membantu jemaah.
Katanya, aplikasi al-Haj al-Zakiyy (aplikasi Pintar Haji) yang mula diperkenalkan pada musim haji lepas dan mengandungi semua maklumat asas berkaitan jemaah haji, kini sudah dikemas kini dan sedia untuk digunakan semua jemaah dari dalam dan luar Arab Saudi.
"Dengan hanya mengimbas kod bar pada aplikasi ini, petugas haji dapat membantu jemaah yang tersesat sebagai contoh, kerana semua maklumat jemaah berkenaan seperti status kesihatan dan nombor khemah sedia terpapar," katanya.
Sementara itu, akhbar al-Asharq Al-Awsat yang memetik kenyataan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr. Tawfig AlRabiah berkata kementeriannya sentiasa memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap terbaik bagi menyambut kedatangan satu juta jemaah haji tahun ini demi menjamin kesihatan para jemaah.
-- BERNAMA