Arab Saudi mahu belajar bangunkan sektor pelancongan dengan Malaysia
Astro Awani
September 28, 2019 21:35 MYT
September 28, 2019 21:35 MYT
Keupayaan Malaysia dalam membangunkan sektor pelancongan negara berjaya memikat kerajaan Arab Saudi untuk mengadakan hubungan dua hala dengan lebih erat.
Malah peningkatan bilangan kedatangan dan perbelanjaan pelancong di Malaysia saban tahun terutama separuh penggal tahun ini turut menjadi antara sebab Riyadh menyuarakan hasrat mereka.
Hasrat itu disuarakan Pengerusi Lembaga Pengarah Saudi Commission of Tourism And National Heritage, Ahmad Aqil Al Khatib ketika menerima kunjungan hormat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi di Riyadh pada Sabtu.
"Arab Saudi memilih Malaysia sebagai rakan strategik pelancongan kerana kami yakin dengan keupayaan Malaysia. Pengalaman dan kebolehan Malaysia dalam sektor pelancongan juga amat diperlukan Riyadh.
"Berdasarkan rekod pencapaian sektor pelancongan Malaysia yang positif, bagi kami percaya visi pelancongan Arab Saudi 2020-2030 yang kita lancarkan semalam (Jumaat) akan dapat direalisasikan,"
katanya Ahmad Aqil dalam kenyataan di sini.
Menurut Ahmad Aqil, Riyadh akan menyiapkan kertas kerja kerjasama strategik pelancongan dan perbincangan pertama diadakan seawal November tahun ini.
"Kita mahu usaha kerjasama ini berlaku secepat mungkin. Saya akan mengarahkan badan terlibat dalam sektor pelancongan Arab Saudi untuk menyiapkan kertas kerja komprehensif dan dibentangkan pada mesyuarat pertama Arab Saudi - Malaysia seawal-awalnya November ini.
"Seperti yang dipersetujui Datuk Mohamaddin, mesyuarat peringkat pertama itu akan diadakan di Malaysia." katanya.
Sementara itu Mohamaddin menyifatkan hasrat Riyadh itu akan disokong sepenuhnya oleh Malaysia.
"Seperti yang dinyatakan oleh Ahmad tadi, dalam banyak-banyak negara Islam, Arab Saudi memilih Malaysia sebagai rakan strategik mereka untuk tujuan pembangunan sektor pelancongan mereka.
"Bagi pihak kerajaan Malaysia saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi atas pengiktirafan yanh diberikan mereka kepada kita," kata Mohamaddin.
Tambah beliau, pihaknya akan memperhalusi kertas kerja yang akan dibentangkan kelak.
Selain itu, katanya, Riyadh begitu berminat dengan perkembangan sektor pelancongan Malaysia terutama cara Malaysia mempromosikan Tahun Melawat Malaysia.
"Mereka mahu kita kongsi modul yang telah kita gunakan untuk promosi dan pembangunan pelancongan.
"Mereka menyebut tentang modul promosi Tahun Melawat Malaysia yang kita guna selama ini termasuk VM2020 selain mahu mewujudkan Tabung Pembangunan Pelanconhan dan majlis tindakan pelancongan seperti yanh kita ada.
"Kita berbesar hati dengan tawaran ini dan kita akan sokong sepenuhnya," katanya yang mengakhiri lawatan kerja di Arab saudi pada Ahad.
Pertemuan tersebut turut disertai Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Abd Razak Abdul Wahab.
#Ahmad Aqil Al Khatib
#Arab Saudi
#Malaysia
#Menteri Pelancongan Seni Budaya
#Mohamaddin Ketapi
#pelancongan
#Riyadh