Apung harga diesel? Tunggu pengumuman - PM Anwar

Faida Rahim
Mei 28, 2024 12:58 MYT
Perdana Menteri hadir pada Forum Global Ekonomi dan Kewangan pada Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Selasa. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan sebarang tindakan mengapungkan harga diesel mengikut harga pasaran semasa akan dilakukan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau mengulas ringkas ketika ditemui media selepas merasmikan Forum Global Ekonomi dan Kewangan pada Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Selasa.
"Tunggu pengumuman, selalunya pengumuman dilakukan Menteri Kewangan II," katanya.
Sementara itu, Anwar berkata Kerajaan telah mengambil langkah mencukupi bagi memastikan kos tidak dipindahkan kepada pengguna berikutan penguatkuasaan subsidi diesel bersasar.
Terdahulu, permohonan bagi program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan pekebun kecil komoditi akan dibuka bermula pada hari ini (Selasa).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penerima yang layak akan menerima Budi Madani sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Beliau berkata, kriteria kelayakan Budi Individu membabitkan pemohon warganegara Malaysia, memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun, cukai jalan aktif serta pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 ke bawah.
#apung harga disel #Anwar Ibrahim #Amir Hamzah Azizan #BUDI MADANI
;