APPLE dijangka memperkenalkan kemas kini untuk komputer bersaiz mini mereka, Apple Mac Mini kelak pada tahun ini.

Ia telah diperkatakan saiz Mac Mini baharu akan lebih kompak, lebih kurang seumpama Apple TV.

Selain daripada itu, Apple juga dijangka membawa beberapa perubahan pada port sambungan yang disertakan bersama dengannya.

Mengikut laporan Bloomberg, Apple dijangka tidak lagi akan menyertakan sambungan USB-A pada komputer Mac Mini akan datang. Sebaliknya, ia akan digantikan dengan sambungan USB-C.

Ini mungkin selari dengan perubahan yang telah dilakukan pada komputer riba MacBook, yang tidak lagi menyertakan sambungan USB-A, dan memfokuskan sepenuhnya pada USB-C.

Apple Mac Mini baharu ini dijangka dikuasakan cip Apple M4, dan masih akan mengekalkan beberapa sambungan lain seperti Ethernet, HDMI dan juga bicu audio.

Apple mungkin memperkenalkan Mac Mini ini sekitar Oktober kelak, dan dipasarkan menjelang penghujung 2024 ini. -Amanz