Apple Learning Coach perkasakan kompetensi digital guru - KPM
Bernama
Julai 27, 2024 15:00 MYT
Julai 27, 2024 15:00 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) bekerjasama dengan Apple untuk melaksanakan Apple Learning Coach bertujuan membimbing guru memanfaatkan sepenuhnya teknologi Apple dalam pengajaran dan pembelajaran.
KPM dalam kenyataan hari ini menyebut sebagai permulaan, 1,500 guru terpilih di seluruh negara akan menerima latihan khusus di bawah program pensijilan profesional percuma itu yang melatih jurulatih instruksional dan para pendidik mulai tahun ini.
Peserta Apple Learning Coach akan mengikuti kurikulum dalam talian yang dibimbing Pakar Pembelajaran Profesional Apple merangkumi modul akses kendiri dan bengkel maya secara langsung selama dua hari.
"Pembangunan profesional ini turut menyumbang kepada mata kredit pembelajaran profesional guru," menurut kenyataan itu.
KPM memaklumkan inisiatif itu selaras dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD) khususnya bagi Teras 2 yang memberikan keutamaan kepada pemerkasaan kompetensi digital pendidik melalui program pembangunan profesional berterusan.
Program ini juga sejajar dengan Teras 6 DPD iaitu bekerjasama dengan syarikat seperti Apple untuk mempercepat pencapaian visi DPD bagi melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing, menerusi peningkatan kemahiran 100,000 guru menjelang 2027.
-- BERNAMA