Apple Event 2021: Ini antara produk yang boleh kita jangkakan
Faris Danial Razi
April 20, 2021 23:35 MYT
April 20, 2021 23:35 MYT
SETIAP kali Apple mengadakan sebuah acara khas bagi melancarkan produk baharu mereka, ia pasti menjadi bualan hangat bagi setiap pengguna produk pintar.
Mana tidaknya, syarikat peranti terkenal ini mempunyai peminat yang cukup fanatik yang mana mereka memang benar-benar menantikan kejutan daripada Apple itu sendiri.
Namun, apa agaknya produk baharu yang akan diumumkan Apple dalam acara yang diadakan secara atas talian pada tahun ini?
Banyak desas-desus yang muncul, ada pemerhati mengatakan bahawa syarikat tersebut mungkin akan memperkenalkan kemas kini menerusi tablet iPad Pro dan tampil dengan satu produk baharu dinamakan AirTag.
Meskipun jawapan itu hanya akan dapat disahkan pada tepat jam 1 pagi nanti, pastinya ia akan menjadi satu acara yang penuh dengan kejutan kerana Apple setakat ini belum melancarkan apa-apa produk baharu mereka untuk tahun 2021.
Acara pertama Apple untuk tahun ini bertemakan 'Spring Loaded'.
Ini adalah antara ramalan kejutan yang mungkin akan diumumkan Apple:
1) Nafas baharu bagi iPad Pro
Kali terakir Apple mengemas kini produk iPad adalah kira-kira setahun yang lalu dan penambahbaikan itu mengandungi cip pemprosesan yang hampir sama dengan produk pada 2018.
Oleh itu, wujud khabar angin bahawa Apple akan memberi nafas baharu kepada iPad Pro mereka dengan penawaran skrin yang lebih besar.
Malah, tumpuan juga terarah kepada penggunaan cip pemprosesan yang lebih pantas untuk siri iPad Pro tersebut dan mungkin Apple akan menggunakan cip baharu untuk peranti berkenaan.
2) Langganan podcast secara berbayar
Penggunaan platform podcast kini tidak lagi dilihat sebagai satu perkara yang asing, kerana banyak pencipta kandungan mula membanjiri platform itu dengan perkongsian menarik.
Untuk itu, Apple nampak gayanya tidak mahu ketinggalan trend dengan memuatkan atau memperkenalkan satu perkhidmatan podcast secara langganan.
Dengan penawaran akses berbayar, ia akan menguntungkan pihak Apple, selain penerbit kandungan kerana sudah pastinya kita juga dapat menjangkakan penawaran sejumlah kandungan eksklusif menerusinya nanti.
Kini saingannya, seperti Spotify yang mendominasi Apple mungkin tercabar dengan pengenalan platform tersebut yang dilihat sangat memfokuskan kepada arena podcast ketika ini.
3) AirTags
Fungsinya mungkin sama seperti Find My Apps, tetapi ia adalah sistem yang berfungsi seperti tag Bluetooth kecil yang boleh mengesan barang-barangan seperti dompet, kunci kereta yang selalunya tercicir.
Idea di sebalik AirTag ini sangat jelas, walaupun masih belum ada pengesahan rasmi, namun pemerhati menggambarkan bahawa aksesori itu akan berguna sebagai penjejak barangan yang dapat kita kesan dengan menggunakan Find My Apps.
4) Kacamata Augmented Reality (AR)
Sebenarnya, teknologi Augmented Reality (AR) ini telah menjadi ciri utama iOS selama beberapa tahun dan itu juga merupakan tumpuan yang mungkin akan diumumkan oleh Apple.
Ia kelihatan seperti sepasang kacamata biasa, tetapi berkonsepkan canggih yang mana ia akan memaparkan maklumat yang dihasilkan pada iPhone kepada pengguna.
Sama seperti Apple Watch, yang mengakseskan kita untuk membaca notifikasi daripada iPhone, tapi kali ini semuanya di depan mata anda sendiri jika anda memakai kacamata itu.
Namun, ada dakwaan mengatakan cermin mata itu tidak berfungsi sebagai pelindung matahari yang boleh kita pakai sewaktu berjemur di tepi pantai.
Apa-apa hal pun, tiada yang mustahil dengan teknologi pada masa kini, jangan terlepas untuk saksikan acara khas Apple pada jam 1 pagi nanti.