APPGM mengenai dasar pelarian tuntut gencatan senjata di Gaza
Bernama
Oktober 24, 2023 17:19 MYT
Oktober 24, 2023 17:19 MYT
KUALA LUMPUR: Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM) mengenai Dasar Pelarian hari ini menuntut gencatan senjata dan perlindungan terhadap orang awam di Gaza, Palestin dkuatkuasakan segera.
Pengerusinya Syerleena Abdul Rashid yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, peperangan berlaku itu telah menyebabkan ramai orang awam tidak bersalah menjadi korban terbesar.
"Nilai teras kita sebagai rakyat Malaysia - perpaduan, belas kasihan dan kemanusiaan - memaksa kita untuk berdiri bersama rakyat Gaza," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Turut hadir pada sidang media itu Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) dan Muhammad Fawwaz Mohammad Jan (PN-Permatang Pauh).
Justeru, Syerleena berkata masyarakat antarabangsa perlu campur tangan secara aktif untuk mencegah pencerobohan dan jenayah kemanusiaan yang semakin teruk.
Beliau berkata APPGM mengenai Dasar Pelarian juga menggesa masyarakat antarabangsa, termasuk Malaysia, untuk berhimpun bersama-sama dan memastikan bantuan kecemasan sampai kepada mereka yang memerlukan.
-- BERNAMA