APMM ucap takziah atas pemergian Editor Video Astro AWANI

Astro Awani
Oktober 14, 2024 14:20 MYT
APMM dalam kenyataan di laman Facebooknya memaklumkan, Allahyarham yang berusia 36 tahun merupakan Pegawai Pasukan Sukarelawan agensi itu - Foto Facebook APMM
KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Editor Video Astro AWANI, Ahmad Hafiz Azhar Nordin yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pagi tadi.

Ringkasan AI
  • Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengucapkan takziah atas pemergian Editor Video Astro AWANI, Ahmad Hafiz Azhar Nordin, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Allahyarham merupakan Pegawai Pasukan Sukarelawan APMM.
  • Ahmad Hafiz Azhar, 36, terlibat dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Maju Ekspres (MEX) akibat jalan licin dalam cuaca hujan lebat. Beliau mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
  • Allahyarham meninggalkan isteri dan dua anak lelaki. Jenazahnya dibawa pulang ke kampung halaman di Alor Gajah, Melaka untuk dikebumikan.

APMM dalam kenyataan di laman Facebooknya memaklumkan, Allahyarham yang berusia 36 tahun itu merupakan Pegawai Pasukan Sukarelawan agensi tersebut.
"Pengurusan tertinggi dan seluruh warga Maritim Malaysia mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham.
"Semoga Allahyarham dihimpunkan bersama golongan yang beriman, para anbiya dan syuhada," tulis kemas kini tersebut.
Sementara itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur mengesahkan kejadian nahas yang mengorbankan Allahyarham Ahmad Hafiz Azhar.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian nahas pada jam 7.46 pagi melibatkan sebuah motosikal di Kilometer 8.5 Lebuhraya Maju Ekspres (MEX).
"Penunggang motosikal seorang lelaki Melayu berumur 36 tahun dipercayai telah terbabas sendiri akibat jalan licin dalam cuaca hujan lebat.
"Akibat kemalangan, mangsa terjatuh atas jalan dan terkena pada tiang penghadang besi," katanya.
Jelas beliau, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Astro AWANI sebelum ini menyifatkan pemergian Ahmad Hafiz Azhar sebagai kehilangan kakitangan yang dedikasi.
Allahyarham yang mesra dengan panggilan Randy dalam kalangan rakan setugas sedang dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.
Allahyarham meninggalkan isteri, Nur Farrah Hanna Ibrahim, 35, serta dua anak lelaki, Noah Anaqi, 5, dan Nael Azraf, sembilan bulan.
Jenazah Allahyarham Ahmad Hafiz Azhar dibawa pulang ke kampung halamannya di Alor Gajah, Melaka untuk dikebumikan.
#APMM #Editor Astro AWANI kemalangan #Ahmad Hafiz Azhar Nordin #Pegawai Pasukan Sukarelawan #Randy
;