APMM tumpaskan cubaan seludup masuk 84,700 kotak rokok

Bernama
September 29, 2022 05:00 MYT
Radar Sistem Pengawasan Laut APMM telah mengesan sebuah bot pancung mencurigakan di Perairan Tanjung Gabang. - Gambar hiasan
PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menumpaskan cubaan menyeludup masuk 84,700 kotak rokok bernilai lebih RM1 juta termasuk nilai cukai di persisiran pantai Batu Laut, Tanjung Sepat, Banting, pada Rabu.
Pengarah APMM Selangor, Kepten V. Siva Kumar, berkata kejayaan itu adalah hasil risikan dan intipan berterusan pasukan operasi agensi itu terhadap aktiviti penyeludupan rokok di perairan Selangor.
"Sekitar jam 6 pagi Rabu, radar Sistem Pengawasan Laut APMM telah mengesan sebuah bot pancung mencurigakan di Perairan Tanjung Gabang.
"Berikutan itu, bot Petir 83 APMM telah menuju ke lokasi dan terserempak dengan sebuah bot pancung yang disyaki membawa muatan rokok. Bot itu kemudiannya terus melarikan diri ke perairan negara jiran sebaik menyedari kehadiran anggota APMM," katanya pada sidang media, di sini pada Khamis.
Susulan itu, Siva Kumar berkata pihaknya membuat pemeriksaan di sekitar persisiran pantai Batu Laut dan menemukan dua buah lori di tebing sungai dan dipercayai telah menjadi lokasi pendaratan bot pancung berkenaan sebelum itu.
Katanya, sejurus menyedari kehadiran bot APMM, kedua-dua pemandu lori tersebut lari meninggalkan kenderaan masing-masing dan pihaknya menemukan sejumlah rokok yang dipercayai diseludup dari Indonesia untuk dijual ke pasaran tempatan.
Beliau berkata rampasan berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #rokok #seludup #Rokok putih
;