APMM tidak tolak kemungkinan objek terapung di perairan Dungun mayat peserta kayak

Astro Awani
Ogos 16, 2019 20:44 MYT
Tambah Rashidilhadi, pihaknya hanya menerima maklumat itu menerusi aplikasi WhatsApp kumpulan nelayan berkenaan berhubung penemuan pada jam 12 tengah malam tadi. - Astro AWANI
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak menolak kemungkinan objek yang dikesan terapung di perairan Dungun adalah mayat peserta kayak warga Singapura.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid berkata, objek itu ditemui terapung oleh nelayan tempatan kira-kira jam 6 petang Khamis.
Jelasnya, mayat itu dijumpai dalam keadaan masih memakai jaket keselamatan sekitar lapan batu nautika dari Kuala Dungun.
Tambah Rashidilhadi, pihaknya hanya menerima maklumat itu menerusi aplikasi WhatsApp kumpulan nelayan berkenaan berhubung penemuan pada jam 12 tengah malam tadi.
“Kita tidak menolak kemungkinan itu adalah mangsa yang kita cari, sebab kedudukan yang dijumpai oleh nelayan tersebut adalah di dalam kawasan sektor pencarian kita.
“Walau bagaimanapun, dukacitanya mayat tersebut tidak diikat ataupun tidak ditanda. Kita gunakan maklumat ini sebagai bantuan untuk lebih fokus pada kawasan pencarian,” ujar beliau.
Beliau berkata dengan penemuan itu, pihaknya menemui petunjuk baharu untuk pasukan penyelamat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi peserta kayak Tan Eng Soon, 62 tahun, yang masuk hari kelapan hari ini.
Katanya, susulan itu pencarian tertumpu di sekitar lokasi mayat berkenaan dilihat - meliputi keluasan keseluruhan 265 batu nautika persegi dari perairan Kuantan, Pahang hingga Marang.
Katanya, operasi pencarian diteruskan pada jam 7 pagi Jumaat yang melibatkan pelbagai agensi.
Pada Rabu, mayat Puah Geok Tin, 57 tahun, ditemui terapung kira-kira 6 batu nautika dari Kuala Kemaman sekitar jam 12.50 tengah hari.
#APMM #Maritim Malaysia #nelayan #objek terapung #perairan dungun #peserta kayak #Tan Eng Soon #warga singapura
;