APMM Terengganu tahan dua bot nelayan Vietnam

Bernama
Disember 7, 2022 16:44 MYT
Bot dinaiki 19 kru termasuk tekong, yang berusia 16 hingga 62 tahun itu, ditahan kira-kira 10.15 malam pada jarak 135 batu nautika dari muara Kuala Terengganu. - Bernama
KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan dua bot nelayan Vietnam yang disyaki menceroboh perairan negeri itu, Isnin lepas.
Pengarahnya Kepten Maritim Khairulanuar Abdul Majid berkata bot dinaiki 19 kru termasuk tekong berusia 16 hingga 62 tahun itu ditahan kira-kira 10.15 malam pada jarak 135 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.
"Bot tunda ganding yang disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia itu ditahan oleh penguat kuasa yang sedang melaksanakan Op Kuda Laut dan Naga Barat," katanya pada sidang media di Pejabat APMM Terengganu di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya merampas dua bot itu, 900 kilogram hasil tangkapan, bekalan diesel dan peralatan menangkap ikan yang dianggar bernilai hampir RM3 juta.
Katanya bot serta kru terbabit dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.
Menurut Khairulanuar proses membawa bot ke jeti mengambil masa lebih 35 jam berikutan keadaan cuaca yang buruk dan laut bergelora susulan musim monsun timur laut.
"APMM sentiasa mempertingkatkan kawalan perairan negara walaupun dalam keadaan musim tengkujuh. Justeru kerjasama masyarakat amat diperlukan dalam melapor sebarang aktiviti pencerobohan kepada pihak kami," katanya.
Beliau berkata setakat ini sebanyak 30 tangkapan pencerobohan dengan nilai kompaun RM2.3 juta dan denda mahkamah bernilai RM14.25 juta telah direkodkan.
-- BERNAMA
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #terengganu #Maritim Malaysia #nelayan
;