APMM Terengganu tahan 20 individu terlibat penyalahgunaan dadah di Kemaman
Bernama
April 20, 2017 14:21 MYT
April 20, 2017 14:21 MYT
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 20 individu terdiri daripada nelayan dan pekerja di sekitar jeti nelayan di daerah ini dalam Op Water Taxi semalam.
Pengarah Maritim APMM Terengganu, Kapt Maritim Zainol Abidin Jusoh berkata dalam operasi bersepadu yang berakhir pagi tadi itu, sebanyak 104 biji pil metamphetamine dan tiga tiub heroin yang bernilai kira-kira RM2,000 berjaya ditemukan.
"Majoriti yang ditahan adalah penduduk tempatan di kawasan jeti haram. Jadi kita tidak menolak kemungkinan mereka juga menjadi pembekal kepada nelayan tempatan dan asing untuk mendapatkan barang larangan tersebut.
"Daripada yang diberkas, 16 daripadanya positif dadah, tiga ditahan kerana memiliki dadah dan seorang warga Indonesia ditahan kerana permit pekerjaan yang meragukan," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, operasi yang berakhir pukul 8 pagi tadi itu turut melibatkan 120 pegawai dan anggota terdiri daripada daripada sembilan agensi termasuk polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Lembaga Pelabuhan Kemaman.
Dalam operasi berkenaan seramai 138 individu, 20 vesel dan 10 premis termasuk jeti persendirian di Sungai Kuang dan Chukai telah diperiksa.
Zainolabidin berkata selain mengesan jenayah pengedaran dan penyalahgunaan dadah, operasi itu juga adalah bagi memastikan semua vesel dan bot mematuhi peraturan yang ditetapkan sekali gus dapat membanteras aktiviti penyeludupan dan kehadiran pekerja asing serta membanteras kegiatan negatif di tengah laut.
"Kita tidak nafikan ada segelintir nelayan mengambil dadah untuk menambahkan kekuatan ketika bekerja dan kesukaran pihak berkuasa untuk melakukan serbuan di tengah laut digunakan untuk mengedar dadah di tengah laut," katanya.
-- BERNAMA