APMM Terengganu aktifkan SAR cari bot bawa 10 pemancing, tiga kru

Bernama
Jun 30, 2022 21:41 MYT
APMM Terengganu hari ini mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah bot yang membawa 10 pemancing dan tiga kru termasuk tekong yang dikhuatiri hilang di perairan Besut. - Foto APMM/Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu hari ini mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah bot yang membawa 10 pemancing dan tiga kru termasuk tekong yang dikhuatiri hilang di perairan Besut.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata bot pendaftaran KNF 7040 itu keluar dari Jeti Pengkalan Kubu di Kuala Besut pada 10 pagi Sabtu lepas (25 Jun).
"Bot tersebut sepatutnya pulang semalam tetapi hingga kini masih tidak pulang dan gagal dihubungi.
"Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan telah mengaktifkan SAR pada 11.45 pagi tadi bagi mengesan bot tersebut. Kapal Maritim Redang digerakkan ke kawasan dipercayai bot tersebut selalu memancing di sekitar pelantar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan bot tersebut tiada peralatan seperti radio atau satelit komunikasi, katanya.
Beliau berkata MRSC Kuantan juga telah berhubung dengan Pusat Komunikasi Petronas dan Exxon Mobil bagi hebahan mengenai bot tersebut.
"Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti laut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini dapat menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Terengganu melalui talian 09-6224357," katanya.
-- BERNAMA
#bot hilang #pemancing #Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #APMM Terengganu #SAR
;