APMM Tawau tumpaskan cubaan seludup dadah RM2.5 juta

Ridzal Abdullah, Petrus Bernard
Januari 13, 2020 15:01 MYT
Antara barangan yang dirampas oleh APMM Tawau selepas berjaya mematahkan cubaan penyeludupan. - Foto Astro AWANI
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau berjaya mematahkan cubaan penyeludupan seberat 17 kilogram dadah jenis syabu yang dipercayai hendak diseludup ke negara jiran di kawasan pantai Batu Payung Tawau pada Sabtu.
Ia selepas bot ronda APMM Tawau yang melakukan rondaan di kawasan tersebut mengesan sebuah bot laju yang mencurigakan menuju ke pantai Batu Payung kira-kira jam 8.45 malam sebelum mengekori pergerakan bot suspek.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, apabila menyedari kehadiran bot ronda APMM, bot laju tersebut kemudian memecut semula ke laut bagi meloloskan diri.
"Apabila bot APMM mengekori dari belakang, dia terus bergerak menuju ke laut dan bot APMM terus menuju ke pantai dan didapati ada dua orang lelaki berdiri di pantai dan melarikan diri sebaik ternampak kehadiran bot APMM," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Berikutan kejadian itu, pihak penguatkuasa mendapati terdapat sebuah beg plastik berwarna kuning ditinggalkan oleh kedua lelaki tersebut lalu memeriksa dan membawa beg plastik terbabit ke pejabat APMM Tawau untuk siasatan lanjut.
"Terdapat 17 bungkus berwarna hitam di dalam beg tersebut yang mengandungi hablur jernih berwarna putih yang disyaki dadah jenis syabu dengan berat keseluruhan 17 kilogram dengan nilai semasa RM2.5 juta," katanya lagi.
Tambahnya,ini adalah kes rampasan pertama dengan nilai yang besar di Tawau membabitkan dadah sejak APMM Tawau ditubuhkan sejak tahun 2005 sehingga kini.
Walau bagaimanapun suspek tidak dapat ditangkap kerana berjaya meloloskan diri berikutan keadaan yang gelap.
#APMM #Dadah #Kapten Maritim Siva Kumar Vengadasalam #Malaysia #Syabu #Tawau
;