APMM tambah aset, teknologi terkini tangani pencerobohan perairan negara

Bernama
September 3, 2024 17:05 MYT
Strategi yang antaranya melibatkan pertambahan aset itu ialah langkah mitigasi oleh APMM dalam memastikan keselamatan sempadan perairan negara sentiasa terpelihara. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melaksanakan strategi antaranya pertambahan aset laut dan udara serta penambahan sumber manusia dan teknologi terkini dalam menangani isu pencerobohan di perairan negara.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata strategi berkenaan ialah langkah mitigasi yang dirancang oleh APMM dalam memastikan keselamatan sempadan perairan negara sentiasa terpelihara.
"Hasil daripada rondaan dan operasi yang dijalankan di seluruh perairan negara, APMM merekodkan 434 kes tangkapan vesel nelayan asing (VNA) dari 2020 hingga Julai 2024 terdiri daripada Vietnam (308), Indonesia (81), Thailand (35) dan China (10)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Zawawi berkata angka berkenaan hanya sebahagian daripada jumlah VNA yang memasuki perairan negara berikutan terdapat kekangan yang dihadapi seperti kekurangan kapal dan bot kerana perlu menjalani penyelenggaraan berjadual selain aset yang dimiliki telah uzur.
Beliau berkata daripada jumlah kes VNA berkenaan, APMM merekodkan 3,694 nelayan asing telah ditahan dari 2020 hingga Julai 2024 atas pelbagai kesalahan.
Mohd Zawawi berkata melihat kepentingan tersebut, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memastikan sebuah Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) yang dinamakan KM Tun Fatimah siap dibina dan beroperasi di perairan Laut China Selatan.
"Selain itu, KDN telah melaksanakan perolehan empat helikopter bersaiz sederhana model Agusta Westland (AW) 189 untuk agensi ini dalam mempertingkatkan lagi pemantauan udara di zon maritim Malaysia khususnya di kawasan sempadan perairan negara terutama bagi keperluan di Sabah dan Sarawak," katanya.
Mengenai hasrat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya KDN terus menjadi penyumbang agar kedudukan negara kekal berada dalam 10 negara paling aman di dunia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI), Mohd Zawawi berkata APMM akan memastikan keselamatan perairan negara terus berada pada tahap optimum.
Beliau berkata ia sekali gus menjadi laluan selamat kepada kapal dagang yang melalui perairan negara di samping aktiviti ekonomi dapat dilakukan tanpa sebarang kebimbangan dalam kalangan nelayan tempatan serta pengusaha bot komersial.
"Keselamatan yang dipertingkatkan juga dapat menarik lebih banyak pelabur asing memandangkan Malaysia telah diiktiraf sebagai antara negara selamat di dunia," katanya.
-- BERNAMA
#APMM #Maritim Malaysia #pertambahan aset #kawalan keselamatan #pencerobohan #perairan negara