APMM tahan enam nelayan bom ikan
Fifi Harteeny Marzuki
April 6, 2018 11:27 MYT
April 6, 2018 11:27 MYT
Kelicikan enam nelayan yang cuba meraih hasil ikan dengan taktik pengeboman dan racun tidak berhasil apabila mereka berjaya ditahan sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam kejadian di perairan Pulau Mengalum, dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, keenam-enam suspek dengan dua daripadanya warga tempatan dan empat lagi warga asing, ditahan di perairan berkenaan selepas dua bot dinaiki mereka dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.
Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, ketika kejadian, sepasukan anggota yang menjalankan Op Khas di lokasi terbabit berjaya mengesan dua bot suspek sebelum pihaknya bertindak mendekati mereka.
“Ketika operasi itu, anggota peronda telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.
"Apabila dihampiri, bot berkenaan cuba melarikan diri dan kelihatan awak-awak bot tersebut sedang mencampakkan sesuatu ke dalam laut, namun berjaya dipintas.
“Hasil pemeriksaan di bot berkenaan mendapati dua orang juragan warga tempatan bersama-sama dengan empat awak-awak yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dalam lingkungan 32 hingga 50 tahun berada di atas kedua-dua bot terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui serbuk putih yang dipercayai racun cyanide, serta peralatan yang dibuang di dalam laut, disyaki bom ikan.
Jelas Adam lagi, kesemua individu itu kini ditahan dan diiringi ke jeti Pulau Mengalum untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.