APMM tahan empat bot nelayan asing, perlukan 39 jam tunda bot ke jeti

Nur Fazlizai Ali
Julai 23, 2021 06:25 MYT
APMM mengambil masa hampir 39 jam bagi proses menunda bot tahanan berikutan angin kencang serta laut bergelora. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat bot nelayan Vietnam dan merampas hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan dan diesel bernilai kira-kira RM6 juta.
Susulan penahanan itu juga pihak Maritim berjaya memberkas 48 nelayan asing termasuk tekong yang leka merompak hasil laut negara.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kesemua bot berkenaan dikesan pada kedudukan sekitar 91 hingga 95 batu nautika dari Kuala Terengganu pada Rabu.
Menurutnya semasa mengiringi bot tahanan ke jeti Maritim Terengganu, seorang tekong cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam laut bagi mengelakkan daripada ditahan serta didakwa.
Bagaimanapun Muhammad Suffi berkata tekong tersebut berjaya dijumpai dan diberkas kembali.
Beliau berkata pihaknya mengambil masa hampir 39 jam bagi proses menunda bot tahanan berikutan angin kencang serta laut bergelora.
Katanya hasil pemeriksaan pihaknya mendapati kesemua bot berkenaan tidak berdaftar di Malaysia.
Manakala tekong serta awak-awak yang berusia antara 16 hingga 68 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Jelasnya kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.
#APMM #nelayan #warga asing #Vietnam #rampas
;