APMM tahan dua bot nelayan gaji warga asing

Bernama
Mac 10, 2023 19:18 MYT
APMM menahan bot pertama di kedudukan 15 batu nautika Barat Daya Pulau Kendi pada jam 6 petang. -Gambar fail/Facebook APMM
GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan dua bot nelayan tempatan kelas C kerana melanggar syarat lesen dengan menggajikan warga asing tanpa kebenaran, ketika pemeriksaan di perairan negeri itu semalam.
Pengarahnya Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata pihaknya menahan bot pertama di kedudukan 15 batu nautika Barat Daya Pulau Kendi, dekat sini pada 6 petang.
"Pemeriksaan mendapati bot yang berpangkalan di Panchur, Perak itu dikendalikan oleh seorang tekong dan seorang kru warga Myanmar serta seorang lagi kru warga Thailand yang kesemuanya berusia 24 hingga 30 tahun dan gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.
"... manakala bot kedua yang berpangkalan di Pantai Remis, Perak ditahan di kedudukan 28.2 batu nautika Barat Laut Muka Head, dekat sini pada 9.20 malam dan pemeriksaan mendapati ia dikendalikan lima kru warga Myanmar berumur 25 hingga 41 tahun serta kesemua mereka gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya kesemua lelaki warga asing itu ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.
-- BERNAMA
#APMM Pulau Pinang #tahan bot nelayan #warga asing #Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
;