APMM tahan dua bot nelayan gaji tiga nelayan bawah umur

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 4, 2023 18:16 MYT
Bot pertama yang ditahan dikendalikan empat kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 35 hingga 40 tahun, manakala bot kedua dikendalikan tiga kru warga tempatan berusia 12 hingga 16 tahun.- FB APMM
GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua buah bot nelayan tempatan di perairan negeri itu kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit yang sah serta pekerja di bawah umur.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, dalam pemeriksaan itu, tujuh individu termasuk tiga pekerja bawah umur ditahan.
Abd Razak berkata, kedua-dua bot nelayan kelas A dan C itu ditahan sepasukan anggota ketika melaksanakan rondaan Op Pertiwi serta Op Tanjung pada jam 9.43 pagi dan 5 petang semalam.
"Bagi kes pertama, kita tahan bot nelayan kelas C di kedudukan 17 batu nautika barat daya Pulau Kendi yang berpangkalan di Bagan Panchor, Perak .
"Bot itu dikendalikan empat kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 35 hingga 40 tahun, tiga daripadanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi dipercayai memiliki dokumen pengenalan diri meragukan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Razak berkata, mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
Manakala bagi penahanan kedua pula, bot nelayan kelas A yang berpangkalan di Sungai Udang ditahan di kedudukan 2.8 batu nautika barat Batu Kawan .
"Bot itu dikendalikan tiga kru warga tempatan berumur dalam lingkungan 12 hingga 16 tahun dipercayai dalam perjalanan menuju ke sangkar ikan berdekatan," katanya lagi.
Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu tidak mengusahakan sendiri dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (pekerjaan) 1966 menggajikan pekerja di bawah umur.
Kedua-dua bot dan kesemua kru ditahan termasuk hasil laut serta muatan makanan ikan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban dan Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Abd Razak berkata, pihak Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka.
"Disamping itu, Maritim Malaysia juga memandang serius pengusaha atau majikan yang menggajikan atau mengeksploitasi pekerja di bawah umur dan sesekali tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan yang sedia ada," katanya.
Sementara itu, Abd Razak meminta orang ramai yang mempunyai sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #warga asing #remaja lelaki #nelayan
;