APMM tahan bot kargo disyaki tangkap ikan di zon larangan
Nur Fazlizai Ali
September 11, 2020 09:26 MYT
September 11, 2020 09:26 MYT
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan sebuah bot kargo dan merampas pelbagai peralatan menangkap ikan termasuk hasil laut yang bernilai kira-kira RM1.5 juta.
Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata bot kargo tempatan itu ditahan sekitar 56 batu nautika dari Kuala Terengganu pada Khamis.
Katanya, dalam penahanan kira-kira jam 11.15 pagi itu pihak mengesan bot yang dikendalikan seorang juragan bersama lima awak-awak warga Vietnam menangkap ikan di zon larangan.
Jelasnya, hasil semakan ke atas lesen pendaftaran bot kargo yang didaftarkan di Pelabuhan Mersing, Johor itu, ia hanya dibenarkan beroperasi di sekitar 10 batu nautika dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Endau, Johor.
Muhammad Suffi berkata pemeriksaan lanjut juga mendapati bot kargo itu mempunyai pukat tunda, ikan campur seberat lebih kurang satu tan dan ikan baja juga seberat satu tan.
Beliau berkata, kesemua suspek yang berusia antara 27 hingga 44 tahun di bawa ke Jeti Maritim Terengganu bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar dan Akta Perikanan 1985.
Muhammad Suffi turut meminta komuniti maritim agar sentiasa bekerjasama dengan menjadi mata dan telinga agensi ini menerusi penyaluran maklumat dan aduan dengan segera ke talian mers 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Terengganu.
#awak-awak
#bot
#bot kargo
#Kuala Terengganu
#LKIM Endau
#Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli
#operasi
#Pelabuhan Mersing
#siasatan
#suspek
#tangkap ikan
#Vietnam
#zon larangan