APMM tahan 9 warga Indonesia tiada dokumen sah
Bernama
Mei 30, 2017 18:55 MYT
Mei 30, 2017 18:55 MYT
Lapan awak-awak dan seorang tekong bot dagang warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) petang semalam dekat perairan Pelabuhan Utara, Klang kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Pengarah Maritim Selangor Kapten Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, bot berkenaan ditahan sepasukan peronda APMM yang melakukan Operasi Satria Selatan pada kedudukan kira-kira 0.7 batu nautika dari perairan itu.
"Hasil pemeriksaan kami dapati tujuh awak-awak dan seorang tekong warga Indonesia yang bekerja di bahagian atas bot berkenaan gagal mengemukakan dokumen perjalanan apabila diminta.
"Seorang lagi awak-awak warga Indonesia yang juga tidak mempunyai dokumen perjalanan ditemui sedang bersembunyi di dalam bilik bot itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Mohd Rosli berkata tekong bot berkenaan juga gagal mengemukakan surat isytihar senarai barangan yang dibawa iaitu 400 guni pakaian terpakai.
Kesemua sembilan individu berusia antara 21 dan 50 tahun itu serta bot berkenaan dibawa ke depoh tahanan APMM Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/ 63 dan Seksyen 26C Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
-- BERNAMA