APMM tahan 5 nelayan Indonesia ceroboh perairan negara

Hakim Rahman
Julai 2, 2015 10:39 MYT
Semasa pemeriksaan dilakukan ke atas bot berkenaan mendapati nelayan berkenaan melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan rawai. - Gambar Fail
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan lima nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara pada jarak 27 batu nautika barat daya, Pulau Kendi pada Rabu.
Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah 2, Laksamana Pertama Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, seorang tekong dan empat awak-awak berumur antara 30 hingga 56 tahun ditahan ketika anggota APMM melakukan rondaan di perairan negara kira-kira jam 4.50 petang.
Siasatan awal mendapati bot nelayan tidak bernombor itu berpangkalan di pantai Labu, Medan keluar sejak lima hari lalu menangkap ikan di perairan negara kerana mendakwa akan mendapat lebih banyak ikan di kawasan berkenaan berbanding perairan Indonesia.
“Kita ada operasi khas satria utara di mana kita ada dua kapal melaksanakan rondaan di sempadan perairan. Kita di selatan Melaka jadi salah satu tugas kita melakukan rondaan memastikan tidak ada pencerobohan nelayan asing di perairan kita. Kita telah mengesan bot tersebut lebih kurang 27 batu nautika daripada Pulau Kendi, jadi bot tersebut diiringi masuk ke Pulau Pinang,” kata Kamaruszaman.
Semasa pemeriksaan dilakukan ke atas bot berkenaan mendapati nelayan berkenaan melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan rawai.
Dalam pada itu, Kamaruszaman memberitahu, salah seorang awak-awak bot nelayan berkenaan pernah ditahan pihak Maritim Malaysia dua tahun lalu di perairan sama dan dijatuhkan hukuman penjara enam bulan atas kesalahan itu.
Kesemua nelayan terbabit boleh didenda mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntuk denda maksimum RM1 juta bagi tekong dan RM100,000 bagi setiap awak-awak, jika sabit kesalahan.
Katanya bot itu ditunda ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Batu Maung manakala sejumlah 200 kilogram ikan dan peralatan menangkap ikan dirampas.
#APMM #nelayan #operasi