APMM tahan 23 nelayan, rampas dua bot
Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 8, 2017 17:31 MYT
November 8, 2017 17:31 MYT
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua buah bot yang dinaiki 23 nelayan dan tekong warga Vietnam di tenggara Tanjung Sedili, di sini semalam.
Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kepten Maritim Amran Daud berkata, kedua-dua bot nelayan itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan kegiatan menangkap ikan secara haram di 22 batu nautika tenggara Tanjung Sedili pada jam 12.05 tengah hari dan 12.28 tengah hari.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot itu tidak memiliki lesen menangkap ikan dan beberapa nelayan dan tekong berusia 19 hingga 55 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
"Pemeriksaan lanjut ke atas bot berdaftar AZAM BARU 1 dan AZAM BARU 2 menemui muatan lebih empat tan ikan campur pelbagai jenis serta dua tan ikan baja.
"Kesemua nelayan dan tekong serta bot tunda ke Jeti Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Amran, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan menangkap ikan, kapal serta hasil tangkapan yang dianggarkan bernilai RM450,000.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 15 (1) dan Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 yangjika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM100,000 setiap seorang manakala tekong akan dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi dua tahun.
"Ini adalah tangkapan kesembilan yang berjaya dilakukan oleh Daerah Maritim 7 melibatkan kes nelayan asing pada tahun ini," katanya.
Tambah Amran APMM akan melipatgandakan operasi-operasi mengesan, menahan mempertingkatkan kawalan keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan negara.
#APMM
#Kepten Maritim Amran Daud
#keselamatan
#Kota Tinggi
#nelayan
#nelayan haram
#Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili
#siasatan
#Tanjung Sedili
#undang-undang
#Vietnam