APMM tahan 21 nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

Bernama
Julai 15, 2023 14:52 MYT
Bot itu ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Amanah yang sedang melaksanakan rondaan Op Naga Barat dan Op Kuda Laut di perairan Pantai Timur. -Facebook APMM
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan Vietnam bersama 21 kru kerana menceroboh perairan negara, Rabu lepas.
Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata bot itu ditahan kira-kira 160 batu nautika dari muara Tok Bali oleh Kapal Maritim (KM) Amanah yang sedang melaksanakan rondaan Op Naga Barat dan Op Kuda Laut di perairan Pantai Timur.
"Ketika cuba dirapati, bot nelayan tersebut tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri menuju ke arah sempadan Vietnam. Namun begitu pada 11.01 pagi bot itu berjaya dirapati seterusnya ditahan.
"Pemeriksaan mendapati bot tersebut ialah bot nelayan asing Vietnam yang dikendalikan oleh 21 kru termasuk tekong berumur lingkungan 17 hingga 55 tahun," katanya pada sidang media di Pejabat APMM Tok Bali di sini hari ini.
Syed Nor Adli berkata selepas ditahan, KM Amanah mengambil masa selama 27 jam untuk mengiringi bot yang ditahan masuk ke Jeti Maritim Kelantan sebelum tiba pada 2.30 petang Khamis.
"Siasatan mendapati bot tidak mempunyai sebarang kebenaran untuk menangkap ikan di perairan Malaysia.
"Susulan itu, bot dan kesemua peralatan termasuk alat komunikasi dan navigasi, 5,200 liter minyak diesel dan satu tan ikan baja yang kesemuanya bernilai anggaran RM1.53 juta telah dirampas," katanya.
Beliau berkata bot bersama kru dan tekong seterusnya diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.
"Kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 16(3) akta sama kerana gagal memberitahu pegawai berkuasa melalui radio atau faks tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi bot dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia," katanya.
Syed Nor Adli berkata kesemua kru juga akan disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1963 kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
-- BERNAMA
#APMM #bot nelayan Vietnam #ceroboh perairan negara #Op Naga Barat dan Op Kuda Laut
;