APMM tahan 19 bot pelancong dalam 'Ops Mengalum'
Bernama
Februari 24, 2017 20:16 MYT
Februari 24, 2017 20:16 MYT
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 19 bot pelancong kerana melanggar peraturan di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dalam 'Ops Mengalum' yang memasuki hari ketujuh hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata bot yang ditahan dalam operasi yang dilaksanakan di sekitar perairan Kota Kinabalu itu antaranya didapati membawa penumpang yang melebihi daripada yang ditetapkan dan tidak mempunyai jaket keselamatan.
"Terdapat beberapa bot yang ditahan kerana menurunkan penumpang ditempat yang tidak diwartakan dan lesen telah tamat tempoh. Kesemua bot berkenaan akan dikenakan kompaun mengikut kesalahan yang dilakukan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata operasi yang disertai 106 pegawai dan anggota APMM itu adalah operasi khas yang bertujuan untuk menentukan bot-bot pelancong yang berdaftar dan berlesen mematuhi syarat yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan pelancong sentiasa dititikberatkan oleh pengusaha dan pengendali bot.
Katanya misi operasi berkenaan adalah untuk melaksanakan pemeriksaan terhadap semua bot pelancong di perairan Kota Kinabalu dan melaksanakan tangkapan terhadap mana-mana bot yang melanggar undang-undang.
"Operasi ini dijalankan setelah mengambil iktibar daripada kejadian bot katamaran yang karam di Perairan Mengalum 28 Jan lepas. Ia (operasi) akan mendapatkan gambaran menyeluruh bagi tujuan mencadang penambahbaikan dari aspek keselamatan," katanya.
Mohd Zubil berkata hasil pemantauan sepanjang operasi itu, pihaknya mendapati semua bot yang beroperasi di perairan Kota Kinabalu tidak memasang Sistem Pengenalan Automatik (AIS).
"Oleh itu saya menyarankan kepada semua pengusaha agar memasang AIS atau sekurang-kurang memasang alat perhubungan komunikasi (radio VHF).
Peralatan berkenaan sangat penting kerana ia akan memudahkan dan mempercepatkan kami menjalankan operasi sekiranya ada apa-apa berlaku kepada bot berkenaan.
Sementara itu, Mohd Zubil berkata usaha mencari dan menyelamat (SAR) lima lagi mangsa tragedi bot pelancong yang karam serta hilang di perairan Sabah belum menemukan petunjuk baharu dalam operasi yang masuk hari ke-28 hari ini.
Beliau berkata berkata sektor pencarian pada hari ini masih meliputi kawasan seluas 300 batu nautika persegi di perairan Sabah, Miri (Sarawak) dan Brunei.
Dalam tragedi 28 Jan lepas, bot pelancong jenis katamaran membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.
Setakat ini, 26 mangsa sudah dijumpai termasuk empat yang maut.
-- BERNAMA