APMM tahan 15 nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

Nur Fazlizai Ali
Mei 23, 2022 11:40 MYT
Kesemua tahanan dan bot diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel, Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan sebuah bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata bot tersebut bersama 15 awak-awak termasuk tekong dikesan pada jarak 100 batu nautika timur laut Kuala Terengganu kira-kira jam 3 petang Sabtu.
Menurut Muhammad Suffi bot berkenaan ditahan dalam satu rondaan operasi penguatkuasaan bersepadu Op Naga Barat dan Op Khas Kuda Laut.
Hasil siasatan mendapati kesemua mereka dipercayai warga Vietnam berusia 20 hingga 50 tahun didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Muhammad Suffi berkata turut dirampas peralatan menangkap ikan, kira-kira 700 kilogram hasil laut, dan 1,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.
Kesemua tahanan dan bot diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel, Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
#APMM #nelayan asing #Vietnam #ceroboh
;