APMM Selangor tahan tiga kapal korek beroperasi tanpa kebenaran
Bernama
Mei 24, 2023 23:20 MYT
Mei 24, 2023 23:20 MYT
SHAH ALAM: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan tiga buah kapal korek selepas didapati beroperasi tanpa kebenaran di kedudukan lebih kurang 5.6 batu nautika barat daya Pulau Carey, Kuala Langat, dekat sini semalam.
Pengarahnya Kapten Maritim V. Siva Kumar berkata pihaknya yang sedang membuat rondaan menerusi Operasi Ehsan dan Tiris mengesan kapal terbabit dalam keadaan mencurigakan apabila ketiga-tiga kapal merapat dan disyaki sedang melakukan aktiviti pengerukan serta memindahkan pasir laut.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati, ketiga-tiga kapal korek itu mempunyai seorang nakhoda serta empat kru disyaki warga China berusia antara 30 dan 61 tahun. Mereka dipercayai sedang melakukan ujian jentera dan belum mendapat kebenaran menjalankan aktiviti mengorek pasir.
"Kapal-kapal itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen sementara nakhoda dan kru kapal turut tidak memiliki dokumen pengenalan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, semasa bot ronda APMM menghampiri ketiga-tiga kapal tersebut, sebuah kapal cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.
Menurut Siva Kumar, ketiga-tiga kapal telah dibawa ke lokasi bersauh dan dikeluarkan perintah tahanan dengan kes disiasat mengikut Akta Pelantar Benua 1966 , Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA