APMM Selangor tahan 44 PATI warga Indonesia

Bernama
November 2, 2022 14:43 MYT
Kepten Maritim V. Siva Kumar (kiri) memeriksa sebahagian daripada 44 pendatang tanpa izin termasuk tekong dan kru yang ditahan dalam sebuah bot kayu di perairan Tanjung Layang pada Isnin lepas. - Bernama
PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di perairan Tanjung Layang, Kuala Langat pada 31 Oktober lepas.
Pengarah Maritim Selangor Kapten Maritim V Siva Kumar berkata migran termasuk tekong dan kru sebuah bot kayu itu ditahan pada 7.47 malam apabila Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia di Area Control Centre (ACC) Klang mengesan sebuah vesel mencurigakan dari perairan Indonesia yang bergerak memasuki perairan negara.
Siva Kumar berkata sebaik tiba di lokasi, sebuah bot kayu berwarna merah berjalur biru dengan tanda nama SAFRI pada badan bot dikesan dalam keadaan mencurigakan sedang bergerak laju menuju ke perairan Tanjung Layang.
"Menyedari kehadiran bot penguat kuasa, bot suspek bertindak cuba untuk lolos bagi mengelakkan daripada ditahan dan diperiksa. Bot ronda APMM seterusnya mengejar bot suspek hampir 10 minit sebelum ditahan sekitar 9.35 malam di kedudukan 0.5 batu nautika barat daya Tanjung Layang.
"Pemeriksaan awal selepas bot itu ditahan mendapati terdapat 39 lelaki termasuk tekong dan dua kru serta empat penumpang wanita kesemuanya berumur lingkungan 19 hingga 49 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki 12 tahun dengan kesemuanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Siva Kumar berkata, berdasarkan soal siasat awal di lokasi, difahamkan tekong bot itu sedang mencari jalan masuk terdekat ke perairan negara bagi menurunkan kesemua PATI dan mereka dipercayai berlepas dari pelbagai lokasi di Indonesia antaranya Tanjung Balai, Dumai serta Pulau Rupat.
Beliau berkata sindiket tersebut turut mengenakan caj sekitar RM1,500 hingga RM2,500 untuk membawa masuk dan keluar PATI bergantung kepada jarak lokasi.
Kegiatan berkenaan dipercayai bukan pertama kali dilakukan, katanya.
"Ada di antara mereka pernah bekerja di pelbagai sektor dalam negara antaranya pembersihan dan perladangan dan kemasukan ke Malaysia adalah untuk bekerja semula dalam bidang yang sama.
"Kesemua pendatang yang ditahan disiasat bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63 manakala bot serta suspek dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut," katanya.
Siva Kumar berkata pihaknya juga sentiasa melakukan rondaan dan penguatkuasaan 24 jam setiap hari walaupun ketika kesibukan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 serta keadaan cuaca dalam negara dan perairan yang tidak menentu.
"Mereka mungkin ingat pihak berkuasa tidak fokus kepada menjaga perairan negara ketika ini, namun tanggapan itu salah kerana APMM dan penguat kuasa lain sentiasa berada di perairan khususnya dalam menjaga sempadan negara daripada dicerobohi," katanya.
Sementara itu, Siva Kumar berkata, pada tahun ini pihaknya turut menahan seramai 103 PATI dari Indonesia, Myammar dan Thailand berumur lingkungan 11 hingga 50 tahun setakat Oktober.
-- BERNAMA
#APMM Selangor #pati #warga Indonesia #ceroboh perairan
;