APMM sambut baik hasrat tiga mangsa culik

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Mac 31, 2017 10:05 MYT
Ahmad Puzi (tiga dari kanan) berjanji akan beri keutamaan kepada kepentingan bekas semua mangsa culik berkenaan. - Foto APMM
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyambut baik hasrat tiga individu mangsa culik Bot Tunda Serudoing Tigaoleh kumpulan Abu Sayyaf yang telah dibebaskan pada Khamis, yang menyatakan hasrat untuk menyertai APMM dalam sidang media semalam.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata segala kepentingan mereka bertiga itu - Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil, 24 dan Mohd Ridzuan Ismail, 33 - akan diberi keutamaan APMM.
"Pengambilan tiga individu ini boleh dibuat menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA).
"Atau kemasukan menerusi Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia (PSSMM) melalui kerahan," katanya.
Tambahnya pengambilan ketiga-tiga individu terbabit ke dalam agemsi itu dilihat akan memberi kelebihan kerana mereka mempunyai kepakaran dalam ilmu kelautan, mahir kawasan perairan Sabah Timur dan mahir berkomunikasi dalam dialek tempatan.
"Saya percaya mereka ini dapat memberi sumbangan yang amat besar dalam operasi penguatkuasaan maritim dan dalam aspek-aspek tertentu," katanya.
Mengulas kejadian tersebut, Ahmad Fuzi berkata Maritim Malaysia akan memastikan tindakan susulan dibuat segera dan mengikut prosedur sedia ada.
#Abu Sayyaf #Ahmad Puzi Ab Kahar #APMM #culik #ilmu laut #mangsa
;