APMM rancang pasang radar di sepanjang perairan negeri Sarawak
Bernama
Februari 24, 2017 19:49 MYT
Februari 24, 2017 19:49 MYT
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merancang untuk memasang radar di sepanjang perairan Sarawak bagi memperkukuh pemantauan dan perlindungan serta memastikan keselamatan di perairan negeri ini terus terjamin.
Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata APMM telah memasang 14 radar di sepanjang perairan negara namun, belum ada radar dipasang di perairan Sarawak.
Beliau berkata jumlah radar itu masih tidak mencukupi dan perlu ditambah kerana ia amat membantu dalam menjalankan pemantauan terutamanya bagi mengesan ancaman musuh yang menggunakan laluan perairan negara.
Pada masa ini, cadangan pemasangan radar di perairan Sarawak masih di peringkat perbincangan dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira kemampuan kerajaan, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan penubuhan Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia (PSSMM) di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Muara Tebas dekat sini, semalam. Turut hadir Pengarah APMM Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit.
"Jika pemasangannya dipersetujui, radar ini akan dipasang di setiap 60 batu nautika di perairan Sarawak yang kita sifatkan berkesan untuk meningkatkan kawalan sempadan perairan.
"Bagaimanapun, pemasangan radar ini menelan kos tinggi justeru itu, pelaksanaannya perlu diteliti supaya cadangan ini dapat dilaksanakan mengikut perancangan," katanya.
Selain itu, APMM sedang membina dua radar di Pulau Jarak dan Pulau Perak di perairan Semenanjung Malaysia dan merancang membina tiga radar tambahan di perairan Sabah.
"Kita lihat penggunaan radar sangat berkesan ... setakat ini negara kita merekod sifar rompakan lanun sejak 2009," jelasnya.
Mengenai penubuhan PSSMM, Ahmad Puzi berkata pihaknya menyasarkan penyertaan lebih 1,000 anggota di seluruh Sarawak yang selaras dengan sasaran mencapai nisbah 1:1 dengan jumlah anggota tetap.
Penubuhan pasukan itu adalah sebagai 'radar bergerak' APMM bagi meningkatkan kesedaran penguatkuasaan undang-undang maritim dalam kalangan masyarakat.
"Ia juga meluaskan jaringan kerjasama dengan komuniti setempat serta menjadikan mereka sebagai mata dan telinga rasmi APMM Sarawak dalam mengumpul maklumat bagi menangani jenayah di laut," katanya.
Menurutnya anggota PSSMM akan dilatih dan didedah dengan pemahaman mengenai ancaman dari laut dan seterusnya membantu APMM dalam segala usaha bagi memastikan perairan negeri ini terus terjamin.
Ahmad Puzi berkata PSSMM yang penubuhannya diluluskan Kabinet pada September 2016, akan merekrut 5,000 anggota di seluruh Malaysia dan menjelang 2020, jumlah keanggotaan APMM dan PSSMM disasarkan bertambah kepada 10,000 orang.
-- BERNAMA