APMM rampas minuman beralkohol, bot, enjin bernilai RM472,000
Bernama
April 25, 2024 23:13 MYT
April 25, 2024 23:13 MYT
LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan merampas minuman beralkohol pelbagai jenama, sebuah bot fiber, dan tiga enjin dianggarkan bernilai lebih RM472,000 yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan.
Pengarah Zon Maritim Labuan Kapten Izwanhadi Idros berkata bot fiber berwarna biru tanpa nombor pendaftaran yang dilihat dari Labuan menghala ke Menumbok itu dipintas kira-kira 2.9 batu nautika di timur laut Pulau Balangkasan, Menumbok sekitar pukul 5.10 pagi ini.
Beliau berkata ketika dihampiri untuk pemeriksaan, bot berkenaan telah memecut ke arah hutan bakau di muara Sungai Klias, dan tekong bot telah meloloskan diri dengan memasuki kawasan hutan paya bakau berhampiran.
"Hasil pemeriksaan selanjutnya ke atas bot fiber itu, pihak penguat kuasa menemukan 10,728 tin dan botol minuman beralkohol pelbagai jenama dipercayai diseludup dari Labuan untuk pasaran tempatan," katanya di sini hari ini.
Barangan yang dirampas bersama bot tersebut telah dibawa ke jeti Zon Maritim Labuan untuk tindakan selanjutnya, dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana cubaan menyeludup minuman keras bebas cukai melebihi had yang dibenarkan.
Izwanhadi berkata operasi yang dijalankan pihaknya hari ini termasuk Op Sejahtera 1/2022, Op Khas Pagar Laut 1/2024, dan Op Tiris 3.0.
-- BERNAMA