APMM pertingkat kawalan di sempadan maritim negara

Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 21, 2020 22:05 MYT
Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, kawalan keselamatan sempadan laut negara dipertingkatkan. -
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menambah aset mereka terutamanya yang membabitkan kawalan keselamatan udara, sekali gus digunakan untuk memantau sempadan maritim negara dengan lebih kerap.
Menurut Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, ketika ini ada pertambahan aset yang digerakkan sejak berlakunya penularan wabak COVID-19.
Jelasnya, langkah itu penting demi memastikan sempadan negara tidak dibolosi warga asing yang mungkin boleh memburukan lagi keadaan.
“Ia membabitkan beberapa kawasan panas yang dikenal pasti ketika ini. Bagaimanapun buat masa ini, tiada lagi peningkatan pencerobohan berlaku. Kita juga telah memperkukuhkan risikan kita di darat dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain seperti PDRM dan Jabatan Imigresen.
“Saya boleh katakan ketika ini keadaan di sempadan laut negara adalah terkawal dan aman. Cuma kita lihat ada sedikit penurunan dari segi bilangan nelayan kita yang ke laut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelas Zubil, ketika ini juga tiada larangan untuk nelayan tempatan turun ke laut dan menjalankan kegiatan penangkapan ikan.
Justeru, aktiviti tersebut boleh dilakukan seperti biasa bagi semua pemegang lesen selaras dengan arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.
#APMM #Astro #Astro Awani #Imigresen #kerajaan #koronavirus #Malaysia #nelayan #PDRM #warga asing
;