APMM patahkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM1.33 juta
Siti Nur Aqilla Omar
Oktober 20, 2021 15:56 MYT
Oktober 20, 2021 15:56 MYT
BATU PAHAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM1.33 juta di perairan Muar, awal pagi semalam.
Pengarah Maritim negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dalam kejadian pukul 5.30 pagi itu, hasil rondaan telah mengesan satu objek mencurigakan dalam bentuk bungkusan plastik berwarna hitam bersaiz sederhana berada di platform perangkap ikan (togok).
Menurut beliau, objek berkenaan dijumpai pada jarak lebih kurang 3.0 batu nautika Barat Daya Parit Jawa, Muar dan kira-kira 12 batu nautika dari sempadan perairan negara.
"Hasil pemeriksaan di dalam bungkusan plastik hitam itu, mengandungi beberapa bungkusan lain dengan pecahan sebanyak 23 bungkusan teh Cina berwarna hijau yang disyaki dadah jenis syabu, satu bungkusan putih mengandungi dua paket kecil pil berwarna merah jambu (2,000 pil) disyaki jenis ekstasi serta sembilan papan (90 pil) disyaki eramin 5.
"Pemeriksaan di sekitar togok tidak menemui sebarang suspek atau petunjuk lain. Kami percaya, dadah yang ditemui tersebut sengaja ditinggalkan di atas togok dan akan diambil oleh pihak seterusnya bagi penghantaran ke destinasi.
"Modus operandi itu dikesan menjadi salah satu taktik yang digunakan oleh suspek dalam menjalankan kegiatan jenayah pengedaran dan penyeludupan dadah keluar ke negara jiran,"katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kesemua barang tersebut seterusnya dirampas dan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.