APMM patah cubaan seludup minuman keras di Menumbok
Bernama
September 9, 2023 23:00 MYT
September 9, 2023 23:00 MYT
LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan menggagalkan cubaan menyeludup 6,000 tin minuman keras bernilai lebih RM39,000 di Menumbok, awal pagi ini.
Pengarah Maritim Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata berdasarkan hasil maklumat awam dan risikan, pihaknya mengesan sebuah bot dilihat dalam keadaan mencurigakan di perairan Menumbok.
"Ketika rondaan, anggota kami mengesan sebuah bot kelihatan mencurigakan dipandu laju ke arah sungai Klias di Menumbok dan kelihatan beberapa individu sedang memunggah minuman keras itu ke dalam sebuah lori.
"Sejurus menyedari kehadiran anggota maritim, suspek bergegas meninggalkan minuman keras berkenaan dan segera melarikan diri dengan menaiki lori yang sedang menunggu mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata minuman keras berkenaan dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan di tanah besar Sabah pada harga yang jauh lebih rendah.
Che Engku Suhaimi berkata hasil rampasan dibawa ke ibu pejabat APMM Sabah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA