APMM P.Pinang tahan kapal kargo berlabuh tanpa kebenaran

Bernama
Oktober 10, 2023 21:21 MYT
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan kapal kargo MV WISDOM GRACE di kedudukan 17 batu nautika barat Muka Head, kerana berlabuh tanpa kebenaran, semalam. - Foto FB APMM
GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan kapal kargo MV WISDOM GRACE di kedudukan 17 batu nautika barat Muka Head, dekat sini, kerana berlabuh tanpa kebenaran, semalam.
Pemangku Pengarahnya Komander Maritim S.Nak Rong berkata Kapal KM Sikuati yang dalam perintah operasi telah melakukan pemeriksaan ke atas kapal kargo itu dan mendapati terdapat 19 kru termasuk kapten kapal yang kesemuanya warga China, berusia lingkungan 27 hingga 54 tahun.
"Hasil pemeriksaan mendapati kapal yang didaftarkan di Panama itu disyaki melakukan kesalahan iaitu berlabuh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya kapal kargo itu bersama semua kru ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
-- BERNAMA
#APMM Pulau Pinang #Maritim Malaysia #kapal kargo berlabuh tanpa kebenaran #MV WISDOM GRACE
;