APMM P. Pinang tahan bot nelayan tempatan gajikan 22 pendatang tanpa pengenalan diri
Bernama
Ogos 8, 2022 17:13 MYT
Ogos 8, 2022 17:13 MYT
GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang didapati mengambil 22 pendatang asing tanpa izin sebagai pekerja, di kedudukan 0.9 batu nautika utara Monkey Beach, dekat sini semalam.
Pengarahnya Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata kegiatan itu dikesan selepas petugas APMM yang sedang membuat rondaan Op Benteng Laut memeriksa bot nelayan berkenaan yang bersauh di utara perairan Pulau Pinang, pada kira-kira pukul 5.15 petang.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan kelas C2 itu dikendalikan oleh 22 kru warga Thailand termasuk tekong yang berumur 26 hingga 54 tahun.
"Kesemua mereka disyaki telah melakukan kesalahan iaitu bekerja di atas bot tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Razak berkata pihaknya menahan bot dan kru termasuk tekong dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.
Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu bekerja di atas bot tanpa kebenaran ketua pengarah perikanan dan Seksywn 56 (1A) (a) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melakukan kesalahan dengan berada di Malaysia tanpa suatu dokumen yang sah.
-- BERNAMA