APMM Lumut selamatkan empat orang mangsa bot karam
Nazialita Geynna Maharan
Disember 6, 2016 07:32 MYT
Disember 6, 2016 07:32 MYT
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ( APMM) Lumut berjaya menyelamatkan empat orang penumpang bot nelayan tempatan yang karam di perairan Sekinchan di sini pada petang Selasa.
Pengarah Maritim Daerah Maritim 3, Kapten Zulinda Ramly berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden bot nelayan karam itu daripada Operasi Mencari dan Menyelamat ( MRCC) Putrajaya sekitar pukul 12.30 tengahari.
Menurut beliau, bot nelayan yang membawa keempat-empat mangsa yang terdiri daripada dua warganegara tempatan serta dua lagi warganegara asing masing-masing dari Myanmar dan Indonesia itu dipercayai karam setelah terlibat dengan laut yang bergelora dan berombak tinggi.
“ Setelah mendapat panggilan kecemasan, sebuah Kapal Maritim Perwira yang diketuai oleh Lt Kdr (M) Mazzukei Mohamad yang berada 25 batu nautika dari lokasi kejadian telah diarahkan untuk menjalankan operasi menyelamat.
“Kesemua mangsa yang telah diselamatkan oleh sebuah kapal dagang bernama YM Inventine yang dalam perjalanan ke Chittagong, kemudian telah dipindahkan ke KM Perwira pada pukul 2 petang, sebelum berpindah pula ke bot Petir 80 milik APMM,”katanya dalam satu kenyataan media pada malam Selasa.
Katanya,kesemua mangsa sempat terjun ke laut untuk menyelamatkan diri sebelum bot yang datang dari jeti Hutan Melintang pada 4 Disember lepas itu karam.
Zulinda berkata, bot berkenaan dipercayai karam berikutan keadaan laut bergelora dan fizikal bot yang uzur sejak berada di laut bermula pada 3 hari lepas.
“ Mangsa kemudian telah dihantar ke Jeti Kg Acheh pada jam 6.30 petang dan insiden berkenaan telah dimaklumkan kepada pemilik bot bernama Kee Chin Woi,”ujarnya lagi.