APMM Kedah dan Perlis rampas RM15.5 juta dadah, ketum tahun lalu
Bernama
Februari 13, 2021 12:18 MYT
Februari 13, 2021 12:18 MYT
LANGKAWI: Hasil kawalan berterusan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis berjaya menumpaskan aktiviti jenayah berat di laut melibatkan penyeludupan dadah dengan nilai rampasan kira-kira RM15.5 juta sepanjang tahun lalu.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata kejayaan yang dicatatkan itu dapat menyuntik semangat tambahan kepada anggotanya menjelang sambutan ulang tahun ke-16 APMM pada 15 Feb ini.
"Sepanjang tahun lalu, APMM Kedah dan Perlis berjaya menggagalkan beberapa cubaan sindiket menjadikan kawasan perairan di sekitar kedua-dua negeri ini sebagai laluan penyeludupan.
"Hasil operasi berterusan serta kerjasama erat dengan komuniti maritim, APMM berjaya merampas syabu seberat 61.5 kilogram bernilai RM12 juta, ganja seberat satu tan bernilai RM3 juta serta daun ketum seberat 4.8 tan bernilai RM500,000," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sekitar perairan ini hari ini.
Mengenai laporan ratusan etnik Rohingya hilang dari kem pelarian di Indonesia dan dipercayai diseludup masuk ke Malaysia, Mohd Zawawi berkata pihaknya belum menerima maklumat pelarian terbabit menuju ke perairan negara ini, khususnya di Langkawi.
"APMM akan terus memantau perkara tersebut, menerusi kerjasama agensi terlibat kita akan pastikan sempadan negara tidak dicerobohi," katanya, menambah penugasan Op Benteng yang turut melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan lain akan memastikan perairan negara tidak dicerobohi.
-- BERNAMA
#APMM
#APMM Kedah
#APMM Perlis
#Langkawi
#penyeludupan dadah
#sindiket
#Malaysia
#Perlis
#Kedah
#Rohingya