APMM jumpa 100 butir peluru meriam aktif dalam kapal pengangkut dari China

Bernama
Mei 30, 2023 23:15 MYT
Nurul Hizam berkata penemuan itu adalah hasil kerjasama APPM dengan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Warisan Negara. - Gambar Bernama
KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menemukan kira-kira 100 butir peluru meriam kapal perang dunia kedua dipercayai masih aktif dalam kapal pengangkut dari China, yang ditahan pada Ahad lepas.
Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata penemuan itu adalah hasil kerjasama APPM dengan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Warisan Negara.
Beliau berkata operasi yang bermula 8 pagi dan berakhir 4 petang tadi melibatkan dua aset APMM bersama 15 pegawai dan anggota, 12 anggota unit pemusnah bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, tujuh anggota Jabatan Warisan Negara dan seorang anggota Jabatan Laut Malaysia.
"Kita tidak menolak kemungkinan kapal yang berdaftar dari Fuzhou, China ini terlibat dalam aktiviti pencurian bangkai kapal perang lama British di perairan Pahang... Kesemua peluru pelbagai saiz yang ditemui telah diambil dan dibawa oleh unit pemusnah bom untuk dimusnahkan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Nurul Hizam juga berkata laporan lanjut berkaitan penemuan itu akan dikeluarkan oleh PDRM.
Sebelum ini, Bernama melaporkan sebuah kapal pengangkut telah bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 20.1 batu nautika timur, Tanjung Siang di sini pada Ahad dan didapati membawa besi buruk serta peluru meriam lama.
Media turut melaporkan baru-baru ini bahawa terdapat sebuah kapal korek asing dikesan menjalankan operasi haram mengambil besi buruk dari bangkai kapal perang dunia kedua milik British yang karam di kawasan perairan Kuantan.
-- BERNAMA
#APMM #PDRM #karam #kapal korek
;