APMM harap tragedi bot karam tidak berulang, jadi pengajaran buat sindiket PATI

Muhammad Aiman Hakeem
Disember 17, 2021 18:22 MYT
MOHD ZUBIL: "Insiden itu dapat dielakkan sekiranya pihak berkenaan tidak bersekongkol menyelinap masuk ke perairan negara dengan mempertaruhkan nyawa dan berlayar ketika cuaca buruk." - Foto Maritim Malaysia
KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berharap tragedi bot karam di Tanjung Balau Rabu lalu menjadi pengajaran buat pendatang asing tanpa izin (PATI) serta sindiket penyeludupan manusia agar tidak menyeludup masuk ke negara melalui laluan haram.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, insiden itu dapat dielakkan sekiranya pihak berkenaan tidak bersekongkol menyelinap masuk ke perairan negara dengan mempertaruhkan nyawa dan berlayar ketika cuaca buruk
"Meskipun kawalan ketat di sempadan negara telah diuar-uarkan secara meluas, namun masih terdapat PATI yang bersikap degil untuk menyusup masuk hingga membawa padah kepada diri mereka sendiri,
"Tambah malang, sindiket penyeludupan pula langsung tidak berhati perut malah mereka sentiasa mencari ruang dan peluang untuk meraih keuntungan tanpa memikirkan risiko nyawa.
"Maritim Malaysia berharap tragedi menyayat hati ini dapat menjadi pengajaran dan membuka mata PATI serta sindiket penyeludupan supaya tidak mempertaruhkan nyawa dengan melalui jalan yang tidak sah.
“Kemalangan seperti ini boleh dielakkan sekiranya PATI dan sindiket penyeludupan manusia tidak mempertaruhkan nyawa berlayar ketika cuaca buruk, ombak setinggi tiga ke lima meter serta kelajuan angin mencecah 50 kilometer sejam.
“Keadaan ini sekali gus memberi cabaran kepada aset-aset SAR yang terlibat untuk melakukan pencarian di samping terpaksa mengharungi keadaan laut yang bergelora ketika musim monsun ini.
“Bot-bot pemintas penguatkuasa juga turut mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan aset dan penguatkuasa, apatah lagi bot-bot kecil seperti bot pancung yang tidak berupaya mengharungi badai laut di samping tidak dilengkapi peralatan keselamatan.
“Disamping Maritim Malaysia akan terus memperketatkan kawalan di sempadan perairan negara terutamanya di kawasan hot spot di Johor Timur yang menjadi laluan utama kemasukan PATI ke negara ini.
“Manakala kerjasama bersama pihak berkuasa Indonesia menerusi perkongsian maklumat akan dipertingkatkan agar sindiket penyeludupan manusia dapat diburu dan dilumpuhkan ke akar umbi,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
BACA: Bot karam: Satu mayat ditemukan, seorang yang terselamat meninggal dunia
Jelas Mohd Zubil lagi, pihak APMM turut berdukacita dan memandang serius kejadian yang meragut nyawa lebih 18 PATI selepas bot yang dinaiki dari Indonesia karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi kira-kira jam 4.30 pagi pada 15 Disember lalu.
#bot karam #Kota Tinggi #APMM #pendatang asing
;