APMM gagalkan cubaan seludup 700 tong gas LPG 14kg ke Indonesia
Petrus Bernard
Januari 23, 2022 17:23 MYT
Januari 23, 2022 17:23 MYT
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 700 tong gas 14 kilogram ke negara jiran Indonesia di perairan Tawau, Sabah melalui Op Sejahtera dan Op Cegah PATI Selatan pada Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, ketika pasukan membuat rondaan di kedudukan 1.1 batu nautika barat daya Sungai Logpond pada jam 6.15 petang, telah dikesan bot kargo dalam keadaan mencurigakan.
"Bot yang sedang bergerak ke Pulau Sebatik itu kemudian ditahan dan diperiksa.
"Pemeriksaan awal mendapati juragan bot lelaki pemegang pasport Indonesia berusia 36 tahun manakala empat penumpang lelaki warga tempatan berumur antara 20 hingga 62 tahun.
"Pemeriksaan lanjut ke atas bot tersebut, pihak kami menemui 700 tong gas LPG 14 kilogram dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran Indonesia melalui Pulau Sebatik," katanya.
Juragan tersebut didapati bersalah kerana membawa tong gas melebihi yang dibenarkan dalam permit yang dikeluarkan oleh KPDNHEP, iaitu sebanyak 260 tong sahaja.
Juragan bersama penumpang dan barang rampasan serta bot tersebut dibawa ke Jeti Maritim Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Jumlah rampasan keseluruhan termasuk bot kargo, enjin bot dan 700 tong gas dianggarkan bernilai RM167,000.
Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.