APMM gagalkan cubaan 35 orang keluar ke Filipina

Astro Awani
Februari 15, 2023 18:22 MYT
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot tersebut ditahan lebih kurang 1.3 batu nautika timur laut Pulau Berhala, Sandakan pada Isnin.
SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot tiada nombor pendaftaran yang dipercayai cuba membawa keluar 35 orang dari Sandakan ke Filipina.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot tersebut ditahan lebih kurang 1.3 batu nautika timur laut Pulau Berhala, Sandakan pada Isnin.
Menurutnya, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang beroperasi mengesan sebuah bot tersebut dalam keadaan mencurigakan dan memecut laju ketika diarahkan berhenti.
"Setelah 15 minit kejar-mengejar, bot yang menggunakan dua buah enjin sangkut 250 kuasa kuda setiap satu itu berjaya dihentikan dan dirapati pada pukul 4.15 petang.
"Bot itu disyaki cuba menyusup keluar secara haram menuju ke Pulau Taganak, Filipina," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Zainudin menambah, hasil pemeriksaan lanjut, bot itu dinaiki 35 orang manakala 15 daripadanya merupakan warganegara, lima pemegang sijil lahir bukan warganegara, empat pemegang MyPR dan MyKas, tiga pemegang IMM13 dan dua pemegang pasport Filipina.
Sementara enam lagi individu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
"Turut ditemukan barang kawalan iaitu 17 tong minyak petrol dan enam guni ayam sejuk beku dengan berat 90 kilogram," katanya.
Kesemua yang ditahan serta bot diiringi ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan kes disiasat di bawah Akta
Imigresen 1959/63, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Negeri Sabah.
#APMM #cubaa keluar #seludup #Sandakan #Filipina
;