APMM gagalkan aktiviti bom ikan di Karambunai

Astro Awani
Januari 3, 2018 13:13 MYT
Empat bot pam yang berjaya dirampas APMM Kota Kinabalu dalam kejadian. - Astro AWANI
Gelagat mencurigakan sekumpulan lelaki menaiki bot pam yang asyik mundar-mandir Teluk Karambunai akhirnya merungkai rahsia apabila mereka didapati melakukan aktiviti pengeboman ikan di lokasi itu dalam serbuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di perairan berkenaan, semalam.
Dalam kejadian jam 2.05 petang Selasa itu, tindakan kesemua lelaki terbabit berjaya dipatahkan oleh APMM namun suspek berjaya meloloskan diri ke kawasan pesisir pantai berbatu di Teluk Karambunai, dengan meninggalkan empat bot pam dinaiki mereka.
Pengarah APMM Daerah Maritim 15 Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, pihaknya terdahulu menerima maklumat berhubung aktiviti suspek di perairan itu pada jam 1.15 petang kerana berada dalam keadaan mencurigakan sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke perairan berkenaan untuk menjalankan serbuan.
"Ketika aset APMM iaitu Bot Kilat 39 cuba menghampiri dan memintas mereka, empat bot pam berkenaan bertindak memecut laju dan melarikan diri ke kawasan pesisir pantai berbatu di Teluk Karambunai.
"Kesemua awak-awak terjun ke laut dan berlari ke arah hutan dan berjaya meloloskan diri,” katanya, dalam kenyataan medianya, hari ini.
Jelas beliau, hasil pemeriksaan terhadap empat bot pam itu menemukan pelbagai jenis ikan dianggarkan seberat 30 kilogram yang disyaki diperoleh dengan menggunakan kaedah pengeboman.
Tambah Adam, kesemua barang rampasan sudah dibawa ke Jeti APMM di Sepanggar, Kota Kinabalu, untuk tindakan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985.
#APMM #bom ikan #bot pam #maritim #nelayan #teluk karambunai
;