APMM bekerjasama dengan TNI bagi dalami kes MT Orkim Harmony
Hakim Rahman
September 1, 2015 17:32 MYT
September 1, 2015 17:32 MYT
Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) akan menghantar pegawai ke Indonesia dalam masa terdekat untuk berbincang lebih lanjut berhubung penahanan perancang utama dalam kes melarikan kapal tangki MT Orkim Harmony.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar memberitahu, pelbagai perkara akan dibincangkan termasuk melihat kemungkinan pembabitan suspek dalam kes-kes lain.
"APMM akan mendapatkan maklumat daripada Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Laut (TN-AL) mengenai penahanan dalang itu yang dikenali sebagai Albert Yohanes dan kemungkinan kami akan menghantar satu pasukan penyiasat untuk mendapatkan bukti-bukti kukuh lain sebelum proses pendakwaan dapat dilakukan,
"Buat masa ini difahamkan siasatan masih berada diperingkat awal dan kami sentiasa berhubung dengan pihak lain bagi menyelesaikan kes tersebut,
"Kita telah bertukar maklumat sejak Jun lalu mengenai perancang utama kes itu berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada lapan anggota kumpulan itu yang ditahan di Vietnam," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambahnya kerjasama erat dan pertukaran maklumat di antara agensi itu dengan Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Laut (TN-AL) membolehkan perancang utama dalam kes melarikan kapal tangki MT Orkim Harmony dapat ditahan.
Menurut laporan Jakarta Post, TN-AL menahan Albert melalui Pasukan Atur Gerak Cepat Armada Barat (WFQR) I menahan suspek pada Khamis lalu, kata jurucakap pasukan itu Kolonel M. Zainudin.
Suspek ditahan di sebuah pangsapuri di Grogol Petamburan, Jakarta Barat setelah usaha mencari suspek sejak sebulan setengah lalu dijalankan.
Suspek kemudiannya diserahkan pihak TN-AL kepada polis untuk soal siasat.
Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada pukul 8.57 malam, 11 Jun lalu ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan.
Kapal yang dimiliki Syarikat Magna Meridian Sdn. Bhd. itu membawa 22 anak kapal terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar.
Namun, selepas tujuh hari dilarikan lanun, kapal berkenaan berjaya dikesan oleh pesawat P-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia di Teluk Siam berhampiran perairan Vietnam.
Dalam pada itu, Ahmad Puzi memaklumkan, APMM akan memutuskan untuk memohon mengekstradisi suspek utama ke Malaysia untuk dibicarakan bersama-sama dengan lanun yang ditahan di Vietnam apabila mendapat maklumat lengkap dan setelah kertas siasatan lengkap.
Berkaitan proses mengektradisi lanun-lanun yang ditahan di Vietnam, beliau memberitahu APMM telah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AG) dan Kementerian Luar untuk memulakan proses ektradisi.