APM tangkap anak buaya tembaga di Pantai PD

Shuhada Abdul Kadir
Mei 20, 2023 12:15 MYT
Anak buaya dipercayai spesies tembaga itu berjaya ditangkap kira-kira jam 1.55 pagi tadi. - Foto APM
PORT DICKSON: Sekumpulan pengunjung di Pantai Saujana, Batu 4 di sini berdepan detik cemas selepas menemukan seekor anak buaya yang terdapar di pesisir pantai itu, awal pagi tadi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Port Dickson, Kapten (PA) Mohamad Azri Abu Hassan berkata anak buaya dipercayai spesies tembaga itu berjaya ditangkap kira-kira jam 1.55 pagi tadi.
“Pusat kawalan operasi daerah menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 1.29 pagi yang memaklumkan terdapat seekor anak buaya terdampar di pantai.
“Lebih kurang 30 minit kemudian anak buaya yang dipercayai sesat daripada habitat asal itu berjaya ditangkap oleh pasukan operasi,” katanya.
Mengulas lanjut ujarnya, anak buaya seberat 800 gram itu berjaya ditangkap dengan menggunakan peralatan-peralatan khas.
Buaya itu akan ditempatkan sementara di sangkar APM sebelum ia diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri.
Ends
#buaya tembaga #APM #Perhilitan #Pantai
;