APM siasat dakwaan program pelajar di tanah perkuburan
Wan Syamsul Amly
Oktober 20, 2016 15:17 MYT
Oktober 20, 2016 15:17 MYT
Latihan Burung Hantu yang membawa peserta program jati diri ke kawasan perkuburan merupakan modul sedia ada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Kolonel Pertahanan Awam (PA), Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman bagaimanapun berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan pegang batu nisan dan duduk sebelah gambar di kubur seperti disebut peserta program.
"Slot itu bertujuan membentuk jati diri peserta untuk mengatasi ketakutan di dalam kegelapan. Ia merupakan latihan burung hantu tetapi pengisian yang lain saya tidak pasti. Setiap slot ada pendekatan tersendiri dan membawa maksud dan kesan untuk mencapai matlamat ditetapkan pihak pemohon dan pelaksana
"Tetapi saya difahamkan kalau latihan kubur itu duduk di kubur, tidak begitu. Mereka mengikut umur, tujuannya hendak mengatasi ketakutan, hendak atasi rasa gerun, kebimbangan.
"Ada fikir kegelapan satu yang membimbangkan, tetapi kalau kita tahu, kita atasi, itu yang kita usahakan. Setiap program ada cara mengatasi kebimbangan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Noor mengulas dakwaan seorang murid perempuan Sekolah Kebangsaan Beluru yang mengatakan mereka telah dibawa ke sebuah tanah perkuburan Kristian pada pukul 2 pagi pada hari motivasi dalam keadaan yang menakutkan.
Murid tahun enam itu menjelaskan selepas insiden itu, dia trauma dan tidak mahu lagi mengikuti mana-mana program motivasi anjuran APM.
Sebelum ini, video insiden anggota APM mencampakkan ular ke dalam kolam sewaktu kem bina diri yang disertai 45 murid sebuah sekolah rendah di Kuala Kangsar viral di media sosial.
Bagaimanapun, APM Perak sudah menggantung 10 kakitangannya yang terlibat dalam video berkenaan.
Semua kakitangan itu juga tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam program kurikulum sekolah sehingga inkuiri selesai.