APM selamatkan lembu betina bunting jatuh lubang

Adie Sufian Zulkefli
Januari 15, 2022 15:24 MYT
Seramai lima anggota APM dengan dibantu penduduk kampung berjaya menarik keluar lembu malang itu. - Foto APM
SIK: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik mengambil masa dua jam, dalam usaha menyelamatkan seekor lembu betina bunting, yang terperosok dalam lubang sedalam tiga meter di Kampung Teloi Tua, Sik pada Sabtu.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik, Leftenan (PA) Haisul Aisyah Mohd Napiah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.54 pagi tadi.
“Lembu bunting itu disedari terjatuh ke dalam lubang berkenaan oleh penduduk kampung pada awal tadi.
"Namun sebaik gagal mencari pemilik lembu itu penduduk menghubungi APM untuk bantuan menaikkan lembu yang kelihatan lemah itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Haisul Aisyah berkata, seramai lima anggota sambil dibantu penduduk kampung akhirnya lembu berkenaan berjaya ditarik keluar.
Jelasnya, lembu betina itu kemudian dilepaskan di kawasan hujung kampung.
Katanya, bagi langkah keselamatan lubang itu ditutup dengan papan dan kayu supaya kejadian seumpama itu tidak berulang lagi.
#lembu bunting #lembu jatuh lubang #APM #Sik Kedah
;