APM sedia digerakkan sepanjang musim perayaan

Nur Fazlizai Ali
Mei 22, 2020 11:00 MYT
Kira-kira 30 orang anggota APM akan bersedia di setiap daerah dan akan bertindak segera jika berlakunya kes kecemasan. Gambar fail/ BERNAMA
Kira-kira 300 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu bersedia untuk digerakkan sepanjang musim perayaan ini.
Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, walaupun tiada Ops Bantu pada tahun ini, APM Terengganu sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia.
Katanya dalam musim perayaan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, pihaknya turut memfokuskan kepada kes-kes kecemasan termasuk kemalangan jalan raya.
“Penugasan untuk APM di seluruh negeri Terengganu ini seperti tahun sebelumnya, cuma kita tidak ada Ops Bantu tahun ini, jadi kita lebih menumpukan kepada PKPB.
“Kita jangkakan tidak berlaku kesesakan trafik disebabkan penguatkuasaan PKPB dalam, namun anggota APM akan tetap bersedia untuk membantu apabila diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira 30 orang anggota akan bersedia di setiap daerah dan akan bertindak segera jika berlaku kes kecemasan.
Che Adam berkata, selain itu pihaknya juga turut melakukan tinjauan berkala di jalan negeri serta jalan persekutuan.
#APM #jalan raya #kemalangan #Ops Bantu #PKPB
;